CHECKLIST BARANG KEPERLUAN UMRAH

Checklist Barang Keperluan Umrah

Apabila mendapat peluang untuk menunaikan umrah, ia adalah salah satu anugerah yang sangat berharga. Setiap muslim pasti menyimpan impian untuk menjejakkan kaki ke tanah suci dan menjadi tetamu Allah. 

Sehubungan dengan itu, dengan penuh keterujaan, berikut kami kongsikan senarai barang keperluan umrah untuk lelaki dan perempuan yang anda boleh jadikan sebagai rujukan atau panduan khususnya kepada jemaah yang bakal mengerjakan umrah. Semoga ia boleh membantu anda untuk melakukan persiapan sewajarnya. 

Checklist Barang Keperluan Umrah

(Untuk Lelaki)

1. Pakaian Ihram

Untuk lelaki, pakaian ihram adalah pakaian yang wajib anda bawa. Ia terdiri daripada dua helai kain lepas berwarna putih yang tidak dijahit atau dicantum. Pakaian ini digunakan untuk menutup aurat, iaitu anatara pusat dan lutut serta digunakan sebagai selendang yang menutupi sebahagian tubuh badan. 

2. Tali Pinggang

Kegunaan tali pinggang adalah sangat penting terutamanya untuk memastikan kain ihram anda tidak terlepas dan mengemaskan lagi ikatannya. Selain tali pinggang yang khusus untuk kain ihram, tali pinggang biasa juga boleh dibawa sekali sebagai persediaan jika berlaku apa-apa.

3. Jubah / Baju Melayu / Kurta

Seterusnya, anda juga perlu membawa jubah, baju melayu atau kurta sekurang-kurangnya 2 helai untuk digunakan sebagai pakaian harian apabila pergi menziarahi kawasan bersejarah. Tak perlu bawa banyak sangat, anda boleh beli di sana kelak dengan harga yang berpatutan. Sebaiknya bawa baju yang tidak terlalu tebal dan mempunyai kain yang sedap dipakai serta tidak perlu digosok. 

4. T-Shirt & Seluar 

Jemaah lelaki digalakkan untuk membawa t-shirt dan seluar sekurang-kurangnya 2 pasang. Boleh bawa seluar jeans, seluar trek atau seluar slack biasa. Untuk t-shirt pula, sebaiknya bawa tshirt yang mempunyai kocek, tidak terlalu tebal dan selesa. Ini adalah untuk memudahkan anda beraktiviti seperti mendaki gunung dan sebagainya. 

(Untuk Perempuan)

5. Telekung

Seperti yang anda maklum, telekung adalah merupakan barang keperluan utama untuk wanita ketika mengerjakan umrah. Oleh itu, anda digalakkan untuk membawa dua telekung untuk keselesaan anda beribadah kelak. 

Sebaiknya, bawa telekung jenis yang ringan, tidak jarang dan kainnya tidak panas. Bawa telekung dengan corak/hiasan yang sedikit sahaja atau tiada sama sekali. Jangan pilih telekung untuk berfesyen pula. Ingat tujuan utama anda. 

6. Jubah

Selain telekung, jubah adalah salah satu barang keperluan utama yang anda perlu bawa. Bawa jubah yang mempunyai jenis kain tidak berat dan paling penting, selesa dipakai. Namun, anda tidak perlu membawa banyak jubah dari Malaysia. 

Bawa 2 atau 3 helai sahaja. Warna jubah yang digalakkan untuk dibawa ialah jubah berwarna putih dan hitam. Apabila sampai di sana kelak, anda boleh beli sekiranya tidak cukup. Harga jubah yang ditawarkan di sana biasanya jauh lebih murah asalkan anda bijak menawar!

7. Tudung Labuh 

Di samping itu, jangan lupa juga beli 2 atau 3 tudung labuh berwarna hitam atau putih. Sebaiknya beli tudung masuk dan berdagu untuk memudahkan anda. Boleh pakai solat terus nanti. Namun, sekiranya anda nak bawa selendang (shawl) atau tudung bawal pun boleh sahaja. 

Sekiranya anda cepat berpeluh, anda boleh bawa tudung lebih. Tetapi, janganlah bawa terlalu banyak pula ya. Bawa yang mudah dan selesa dipakai. Ini adalah demi keselesaan anda untuk beribadah sepanjang berada di sana kelak. 

8. Anak Tudung

Jangan lupa juga bawa anak tudung yang selesa untuk dipakai terutamanya apabila waktu panas. Anak tudung anda boleh bawa 3-5 helai untuk menjamin keselesaan anda. 

9. Stokin Mesra Wudhuk

Untuk sesiapa yang belum tahu, stokin mesra wudhu adalah stokin yang mempunyai bukaan di bahagian hadapan jari-jari kaki untuk membolehkan anda mengambil wudhu dengan mudah. Jadi, anda tidak perlu bersusah payah membuka stokin anda setiap kali mengambil wudhu. 

Bawa stokin 4-5 helai atau lebih untuk mengelakkan anda memakai stokin yang sudah berbau. Elakkan membawa stokin yang terlalu tebal kecuali apabila anda menunaikan umrah pada musim sejuk. Hal ini kerana, stokin yang tebal akan lambat kering dan mudah berbau. 

10. Sarung lengan (Handsock)

Untuk lebih menjaga aurat, anda juga disyorkan untuk membawa sarung lengan atau dikenali sebagai ‘handsock’. Sebaiknya bawa sarung lengan berwarna putih atau hitam sebanyak 2-3 pasang.

11. T-Shirt Labuh & Seluar 

Bawa 2 pasang baju labuh dan juga seluar untuk memudahkan anda beraktiviti seperti mendaki gunung dan sebagainya. Jangan lupa juga bawa baju dan seluar untuk dipakai khusus ketika tidur malam. 

12. Pakaian Dalam Pakai Buang

Pastikan anda membawa pakaian dalam secukupnya dan jangan lupa bawa pakaian dalam pakai buang juga untuk memudahkan anda membuang air besar/kecil terutamanya apabila sukar untuk ke tandas disebabkan ramai orang dan perlu menunggu lama.

13. Kasut

Bawa kasut yang sesuai untuk tawaf/sa’ie untuk mengelakkan kaki anda sakit dan kurang selesa semasa beribadah dan juga beraktiviti.

14. Tasbih Digital

Tasbih digital adalah penting utnuk memudahkan anda menggunakannya kerana saiznya yang lebih kecil dan mudah untuk anda bawa ke mana-mana sahaja.

15. Botol Penyembur Wudhu

Pastikan juga anda memberi botol penyembur wudhu untuk memudahkan anda mengambil wudhu di mana sahaja ketiak berada di sana.

16. Sejadah Bersaiz Kecil

Sejadah kecil untuk memudahkan anda menunaikan solat di luar masjid atau di mana-mana sahaja.

17. Ubat-ubatan

Ubat-ubatan seperti panadol, ubat batuk, minyak angin serta ubat yang dibekalkan daripada hospital sekiranya ada.

Kesimpulan

Akhir kata, anda juga boleh merujuk panduan dan senarai barang keperluan umrah yang diberikan oleh agensi umrah anda untuk memastikan tiada barang penting yang ketinggalan.

Semoga perkongsian in bermanfaat untuk anda!